Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan solat jenazah ghaib tidak perlu dilaksanakan kepada semua penumpang dan anak kapal MH370.

Sebaliknya Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata semua umat Islam adalah diseru supaya mengadakan tahlil dan doa kepada semua yang terlibat.

"Saya ingin menjelaskan beberapa perkara mengenai kedudukan hukum dan berkaitan dengan tragedi MH370 sepertimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 25 Mac 2014 yang lalu telah mengambil beberapa ketetapan bahawa solat jenazah ghaib tidak perlu dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, Masjid Negara akan mengadakan tahlil khas sebaik sahaja selesai solat Jumaat pada 30 Januari.

"Manakala, masjid-masjid di bawah seliaan Jakim iaitu Masjid Putra, Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya serta seluruh masjid di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga akan mengadakan Majlis Tahlil khas sejurus selepas Solat Jumaat.

"Dalam masa yang sama, seluruh masjid di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri-negeri seluruh negara adalah dipohon kerjasama untuk mengambil inisiatif yang sama," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, hal-hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi itu hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa.

"Mereka harus merujuk kes berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah," ujarnya.

Pada petang Khamis, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dengan rasminya mengisytiharkan bahawa insiden pesawat MH370 adalah satu kemalangan dan kesemua 239 penumpangnya dianggap terkorban.