Pembukaan penuh sektor ekonomi di Sarawak tidak wajar diputuskan secara tergesa-gesa, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, perbincangan dan penelitian menyeluruh bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan dibuat sebelum sebarang keputusan diumumkan.

Awang Tengah berkata demikian ketika mengulas keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian (MITI) yang membenarkan sektor ekonomi beroperasi tanpa sekatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita akan bincang dengan JPBN Sarawak yang akan dipengerusikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan minta pandangan daripada Jabatan Kesihatan dan agensi-agensi berkaitan.

“Keputusan ini hanya akan diumumkan selepas mengambil kira pandangan dan garis panduan daripada Kerajaan Persekutuan dan semestinya segala keputusan berdasarkan kepada keadaan semasa,” jelas Awang Tengah.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, menambah negeri itu tidak perlu mengambil langkah drastik membuka semula operasi sektor ekonominya.

Walaupun banyak sektor termasuk perniagaan, perindustrian dan pembinaan perlu diteruskan bagi menggerakkan ekonomi, namun pelbagai kesan sampingan juga perlu diambil kira.

“Saya berpendapat kita tidak boleh tergesa-gesa nak membenarkan sektor ini beroperasi, kita perlu fikirkan kesan jangka panjang dan apa yang terbaik untuk negeri ini,” tambahnya.

Sebelum ini, sektor perkilangan dan perindustrian di Sarawak dibenarkan beroperasi seperti biasa namun pada kadar operasi yang minimum.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Sumber Alam di Kuching pada Rabu selepas penyerahan sumbangan Ramadan pusaka kepada PERKIM Cawangan Lawas, HIKMAH cawangan Kuching dan Kelab Sukan Komuniti Satok.