Tiada keperluan untuk mewujudkan Mahkamah Perlembagaan di negara ini memandangkan Mahkamah Persekutuan boleh mengendalikan isu-isu membabitkan perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, mahkamah sedia ada seperti Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi sekali yang diduduki tujuh hakim, akan mengendalikan isu membabitkan perlembagaan sekiranya ada.

"(Cadangan penubuhan) Mahkamah Perlembagaan ini untuk mengendali isu-isu perlembagaan tetapi yang sebenarnya mahkamah sedia ada memang sudah lengkap dengan hakim-hakim yang boleh mengendali isu-isu perlembagaan.

"Jadi bagi saya sekiranya ada keperluannya (untuk menubuhkannya) pihak mahkamah bolehlah memberikan cadangan kepada kita (kerajaan) namun setakat ini saya tidak lihat keperluan untuk mewujudkannya," katanya selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Bantuan Guaman cawangan Perak di Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu program temubual mencadangkan agar kerajaan meminda perlembagaan supaya Mahkamah Perlembagaan dapat ditubuhkan bagi membicarakan isu berkaitan hak dan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita berhubung laporan sebuah portal mengenai masalah dihadapi M.Indira Ghandi apabila masih gagal bertemu dengan anak bongsunya, Prasana Diksa, Liew berkata, ia sebenarnya sudah selesai di peringkat perundangan.

"Dari perspektif mahkamah ia membuat keputusan, bagi sesebuah keluarga untuk menukar agama kanak-kanak, ia memerlukan keputusan kedua-dua ibu bapa, perlu ada keputusan ibu dan juga bapa kanak-kanak itu.

"Jadi dari sudut pelaksanaan, itulah masalahnya sekarang apabila anda katakan ibunya tidak pernah berjumpa dengan anaknya, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun perlu mengambil inisiatif kerana mahkamah sudah membuat keputusan dari perspektif itu, jadi saya percaya Ketua Polis Negara perlu menguatkuasa keputusan yang diambil oleh pihak kehakiman," katanya.

Pada Jan tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang selain pada Mac 2010 di Mahkamah Tinggi Ipoh, hak penjagaan anak juga diberikan kepada Indira manakala bapa diberikan hak lawatan sekali seminggu.

Pada 29 April 2016 juga, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Ketua Polis Negara menahan Muhammad Ridhuan Abdullah untuk mengembalikan anak bongsu mereka kepada Indira. -- Bernama