Kerajaan kini memfokuskan untuk memperkukuh operasi keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan tiada keperluan mahupun perancangan Kerajaan untuk memperluaskan kawasan tersebut.

Jelasnya, pengukuhan operasi keselamatan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan telah berjaya memastikan kes penculikan di kawasan ESSCOM berkurangan.

"Kalau ikut rekod tahun sudah ada 10 kes penculikan, tahun ini tiada kes dilaporkan.

"Bukan kita mahu kes itu berlaku, namun semua ini menunjukkan keberhasilan operasi bersepadu yang sudah dilakukan selama ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ignatius Dorell Leiking (WARISAN-Penampang) yang bertanyakan sama ada Kerajaan bercadang untuk memperluaskan kawasan ESSCOM.

Beliau berkata, menerusi operasi bersepadu, ESSCOM menangkap 1,156 orang pesalah yang terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing sejak Januari hingga September lalu.

-HABIS-