Ujian COVID-19 ke atas semua pekerja asing mungkin satu pendekatan yang tidak praktikal buat masa sekarang dan seterusnya menjadi satu mimpi buruk memandangkan perniagaan baru sahaja memulakan semula operasi, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata, pendidikan dan penguatkuasaan norma baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) masih lagi diperlukan segera sebagai penyelesaian jangka panjang.

"MMA yakin bahawa makmal di negara ini mungkin tidak mampu mengendalikan jumlah yang tinggi bagi sampel yang diambil daripada pekerja berkenaan untuk ujian COVID-19 untuk jangka masa pendek.

"Ia mungkin juga tidak mampu kepada banyak perniagaan; yang kebanyakannya telah mengalami kerugian berikutan pemberhentian sementara operasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (MCO)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MMA mendesak kementerian yang berkenaan agar mengutamakan pemantauan sektor yang bergantung kepada pekerja asing memandangkan perniagaan kini baru hendak memulakan semula operasi.

"Usaha hendaklah juga dilakukan untuk berkomunikasi dan mendidik norma baharu dan SOP dalam bahasa pekerja asing berkenaan bagi memastikan mereka faham sepenuhnya dan mematuhi sepenuhnya amalan norma baharu," katanya.

Beliau berkata, MMA juga menggesa pihak berkuasa yang berkenaan untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu menjangkau mereka kerana sesetengah mereka mungkin takut dengan pihak berkuasa dan berpindah ke lokasi baharu; menjadikan pengesanan kontak lebih sukar berhubung jangkitan COVID-19.

"Meskipun kumpulan pekerja ini mungkin tinggal secara haram di negara ini, namun diingatkan bahawa mereka juga mempunyai hak sejagat terhadap penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, MMA berpendapat pendekatan sasaran dalam menjalani ujian, seperti yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) untuk titik panas mungkin boleh diambil buat masa kini.

"Ia juga hendaklah diketahui bahawa seseorang itu masih boleh berisiko jangkitan selepas menjalani ujian sekiranya mereka tidak mematuhi langkah-langkah pengawalan.

"Kami lebih bimbang berhubung pekerja asing di negara ini yang mungkin mempunyai risiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 susulan persekitaran kerja mereka dan keadaan tempat tinggal mereka," katanya.

-- BERNAMA