Suspek utama dalam kejadian motosikal dibom Rabu lalu dipercayai melakukannya kerana rasa tidak puas hati terhadap mangsa yang enggan menjual kebun getah mereka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan ke atas suspek berusia 27 tahun yang juga anak angkat mangsa itu didapati bahan letupan itu dibeli dengan harga RM300 dari Thailand dan dipasang di motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa, sejak tiga hari lalu.

"Suspek berbuat demikian, kerana mangsa enggan menjual kebun getahnya seluas 4.8 hektar, (dengan wang hasil jualan itu akan digunakan) untuk membawa pulang isterinya, seorang warga Laos.

"Isteri suspek sebelum ini telah diusir dari negara ini, kerana datang secara tidak sah dan pemuda itu turut mempunyai masalah kewangan," katanya.

Tambah Mazlan, Unit Pemusnah Bom Bukit Aman masih menyiasat bahan yang digunakan untuk membuat bom berkenaan.

Kejadian pada pagi Rabu dikatakan bukan kali pertama dilakukan suspek, memandangkan suspek dikatakan pernah mengebom motosikal milik ibu bapa angkatnya itu kira-kira tiga bulan lalu.

Bagaimanapun tiada laporan polis dibuat.

Beliau turut menafikan insiden berkenaan ada kaitan dengan kumpulan militan IS, sebaliknya kes bunuh itu dilakukan anak angkat mereka.

"Kes ini dianggap selesai dan polis menolak dakwaan sesetengah pihak, kononnya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS," katanya.


Dalam kejadian jam 9.10 pagi Rabu, sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang mereka meletup berpunca daripada bom buatan sendiri dipercayai anak angkat mereka.

Kejadian di Kampung Pulai, Gua Musang itu menyebabkan mayat mangsa masing-masing berusia 72 tahun berkecai dan serpihan badan mangsa bertaburan hingga ke kawasan semak berhampiran.

Suspek kini ditahan reman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.