Tidak semua individu bawah umur yang ditangkap oleh pihak polis akan dikenakan Perintah Tahanan atau Perintah Pengawasan Polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan setiap individu yang ditangkap akan melalui proses siasatan yang mendalam.

Menurut Muhyiddin, sekiranya terdapat bukti keterlibatan dalam aktiviti yang boleh diambil tindakan di bawah POCA, permohonan reman lanjutan akan dibuat di mahkamah dan proses inkuiri oleh Pegawai Siasatan KDN akan bermula.

"Hasil daripada inkuiri yang dijalankan, Pegawai Siasatan KDN akan mengemukakan laporan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ). LPJ akan membuat penilaian berdasarkan laporan Pegawai Siasatan KDN dan Kertas Siasatan Polis sebelum membuat keputusan sama ada dikenakan Perintah Pengawasan Polis, Perintah Tahanan atau dibebaskan.

"Berdasarkan statistik daripada LPJ, sehingga 30 Januari 2019 hanya seorang individu bawah umur yang masih lagi menjalani tahanan selama 2 tahun di Pusat Pemulihan Khas Kluang berikutan terlibat dengan kegiatan jenayah kekerasan manakala tiada individu bawah umur yang sedang menjalani Perintah Pengawasan Polis di luar penjara.

"Kementerian Dalam Negeri amat prihatin dan peka terhadap kebajikan semua tahanan termasuklah tahanan bawah umur. Sekiranya ada tahanan bawah umur, mereka akan ditempatkan di tempat tahanan yang berasingan daripada tahanan dewasa iaitu di Pusat Pemulihan Khas Kluang," katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat Muhyiddin susulan gesaan badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang mengesa agar 142 orang kanak-kanak yang ditahan di bawah POCA dibebaskan

Menjelaskan permintaan Suaram itu, Muhyiddin menjelaskan bahawa jumlah tersebut merupakan statistik tangkapan oleh pihak polis dari tahun 2015 hingga 2017 ke atas individu bawah umur kerana dipercayai terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah.

"Statistik ini dinyatakan semasa menjawab soalan Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Antony Santiago pada 31 Oktober 2017.

"Jumlah 142 orang adalah merangkumi 25 orang yang direman bagi siasatan lanjut, 18 orang yang telah dibebaskan, 87 orang yang telah dikenakan sekatan manakala bakinya seramai 12 orang telah ditahan di Pusat Pemulihan Khas," katanya lagi.