Kerajaan akan memastikan tidak berlaku kebanjiran pekerja dari China walaupun pelbagai kerjasama projek gergasi sedang diadakan bersama negara itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, China kini merupakan negara ke-12 penyumbang pekerja asing terbesar di negara ini.

"Kita akan memastikan walaupun China membawa pelabur tetapi ia bukan mahu mendominasi perniagaan namun kerana kerjasama strategik yang mampu melahir dan menjana ekonomi negara.

"Keutamaan tetap akan diberikan kepada pekerja tempatan tetapi banyak sektor seperti pembinaan, peladangan dan 'Dirty, Difficult and Dangerous' atau 3D, mahu tidak mahu kita kena ambil pekerja dari negara lain," katanya.

Richard menjawab soalan pertanyaan Ahli Parlimen Dungun (Pas) yang meminta Kementerian Sumber Manusia untuk menyatakan langkah- langkah jaminan pekerja tempatan selepas kemasukan pelabur-pelabur dari Negara China.

Dalam pada itu jelas Richard, seramai 2.1 juta pekerja asing berada di negara ini pada tahun 2015 dan jumlah itu menurun kepada 1.8 juta pada 2016.

"Kita menjangkakan penggunaan tenaga asing sebanyak 2.2 juta pada 2020."

Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rahim & Co. (Rahim & Co), Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman menyifatkan, kemasukan pelabur asing khususnya China tidak perlu dibimbangi kerana kerajaan mempunyai peraturan dan undang-undang yang ketat bagi melindungi kepentingan rakyat tempatan.

Jelasnya, kenyataan-kenyataan negatif mengenai kemasukan pelabur China ke negara ini lebih berbaur politik sehingga menimbulkan pelbagai persepsi buruk.