Tidak timbul persoalan sama ada Statut Rom perlu menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong atau tidak sebelum kerajaan boleh menandatangani perkara tersebut.

Peguam dan aktivis, Syahredzan Johan berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak melanggar mana-mana peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan telah melalui prosedur yang betul berhubung perkara mengenai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di bawah Statut Rom.

Beliau mengakui bahawa perkara itu tidak termasuk dalam Sembilan Perkara melibatkan Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Jadi benar apa yang Datuk Saifuddin Abdullah (Menteri Luar) katakan bahawa memang tidak memerlukan perkenan (Agong) secara khusus untuk meratifikasi Statut Rom kerana ia tidak melibatkan perkara-perkara yang menyentuh kepada isu-isu yang mana perlu mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

“Jadi daripada persoalan itu, isu sama ada perlu perkenan atau tidak, memang tidak timbul. Tetapi kalau diikutkan memang telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Jadi saya tidak nampak apa-apa prosedur yang tidak diikuti oleh pihak kerajaan dalam meratifikasi Statut Rom,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

BACA: Pembangkang mahu bentang usul batalkan Statut Rom

BACA: Di bawah Statut Rom, ICC pilihan terakhir selepas sistem perundangan negara


Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) dan beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan mengenai isu Statut Rom yang telah ditandatangan oleh kerajaan tanpa mendapat pengetahuan Ahli Dewan Parlimen.

Terdahulu, Saifuddin ketika menggulungkan jawapan perbahasan Titah Diraja berkata, perkara mengenai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di bawah Statut Rom tidak termasuk dalam Sembilan Perkara melibatkan Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja.

Jelas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu lagi, terdapat kira-kira 100 perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diratifikasi tanpa dibawa ke Dewan Rakyat sebelum ini.

Ahli pembangkang bagaimanapun terus memberi tekanan yang mahukan jawapan ya atau tidak, tentang sama ada perkara ICC perlu perkenan Agong.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata sama ada Dewan Rakyat perlu dimaklumkan atau sebaliknya, itu hanyalah sebagai satu tindakan baik oleh kerajaan kerana ICC tidak perlu mendapat persetujuan majoriti mudah untuk menyokong ratifikasi Statut Rom.

“Sebelum ini pun, kebanyakan persetujuan dan sebagainya yang dimasuki oleh kerajaan tidak melalui Dewan Rakyat untuk mendapat satu persetujuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Jadi sekali lagi dari segi prosedur tidak ada apa yang tidak betul dengan apa yang telah dibuat oleh pihak kerajaan dalam perkara Statut Rom,” ujarnya.

Susulan itu, Syahredzan berpendapat isu Statut Rom sengaja diperbesar-besarkan oleh ahli parlimen pembangkang, kononnya kerajaan tidak melalui prosedur yang betul sebelum meratifikasi perkara tersebut.

Pada 26 Disember 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menulis warkah kepada Pemangku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk sembah maklum keputusan yang dibuat Jemaah Menteri.

Sementara pada 15 Februari 2019, Saifuddin datang menghadap Seri Paduka Baginda YDPA Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menyembah maklum keputusan Jemaah Menteri.

Ia kemudiannya disusuli dengan Malaysia telah menandatangani Statut Rom pada 4 Mac lalu.