Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menggesa pihak berkuasa supaya tidak hanya menumpukan usaha untuk mengekang penularan penyakit demam kepialu kepada pekerja asing di restoran sahaja.

Menurut Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed, pemantauan dan pemeriksaan perlu diperluaskan kepada pekerja asing di sektor pembinaan.

Noorul Hassan menjelaskan, jumlah pekerja asing yang bekerja di restoran-restoran di Malaysia hanya terdapat dua peratus berbanding di sektor-sektor lain khususnya pembinaan.

"Sektor restoran lebih terjamin dan lebih teratur dalam pemeriksaan kesihatan pekerja asing. Sebelum mereka bekerja di Malaysia, mereka perlu melalui pemeriksaan kesihatan di negara asal. Apabila tiba di Malaysia, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan FOMEMA (Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing).

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Negeri tidak akan meluluskan lesen kedai makanan jika ada pekerja tidak menerima suntikan tifoid dan ketika ini jumlah pekerja asing di restoran-restoran di Malaysia hanya 2 peratus. Bagaimanapula dengan 98 peratus pekerja asing di sektor lain? Terutama di sektor pembinaan, perladangan dan kawalan keselamatan yang mempunyai ramai pekerja asing," tambah Noorul Hassan, ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Noorul memberi reaksi itu susulan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengenai majikan sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menangani isu lebih 30 peratus pekerja warga asing di negara ini didapati tidak diberi vaksin untuk tifoid.

Menurut Subramaniam, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika majikan yang menggajikan pekerja warga asing tidak mengambil serius perkara itu.

INFOGRAFIK: Demam kepialu: Bagaimana tersebar, simptom dan cara mengelak daripada dijangkiti

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Noorul Hassan berkata, beliau tidak menyalahkan kerajaan namun beliau berharap pemantauan kesihatan pekerja asing patut dilakukan secara menyeluruh, bukan di sektor makanan dan minuman sahaja.

"PRESMA tidak akan kompromi dalam isu kebersihan dan kesihatan. Kerajaan sewajarnya mengambil tindakan bagi mengawal wabak penyakit demam kepialu.

"Bagaimana dengan pendatang asing tanpa izin? Bagi pekerja asing yang datang secara sah, kita boleh mengawal pemeriksaan perubatannya.

"Kerajaan perlu serius dalam isu mengekang wabak penyakit demam kepialu dengan mengawasi semua sektor dalam negara ini yang mempunyai pekerja asing, bukan yang hanya bekerja di restoran," tambahnya lagi.

Pada masa sama, Noorul Hassan tidak menafikan terdapat segelintir majikan gagal untuk memastikan pekerja-pekerja asingnya diberikan suntikan tifoid.

"Mungkin ada majikan yang cuai kerana terlupa untuk memberikan suntikan tifoid kepada pekerja asing kerana suntikan tifoid perlu dilakukan setiap dua tahun. Itu cuai, namun ada juga majikan yang tidak buat langsung suntikan kepada pekerja asing," katanya.