Jabatan Peguam Negara akan meminda tiga akta bagi menyelesaikan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

"Isu yang berbangkit daripada konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil apabila seorang daripada pasangan menukar agamanya, dijangka dapat diselesaikan apabila pindaan secara pakej dilakukan kepada tiga akta.

"Sebagai contoh usaha kerajaan menangani isu-isu sensitif termasuk penukaran agama yang dalam hal ini cadangan pindaan secara pakej kepada tiga akta iaitu Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164], Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] sedang dipertimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Seminar Kelestarian Keselamatan Negara dengan tema 'Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama', di sini hari ini.

Seramai 350 penjawat awam persekutuan dan negeri hadir pada seminar anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) secara kolaboratif bersama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Nancy berkata kerajaan sentiasa menambah baik dan memperkenalkan undang-undang baharu di negara ini agar kestabilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat terus dipelihara.

"Dalam cadangan pindaan tersebut, sekiranya pasangan bukan Islam memeluk agama Islam, dia hendaklah menyelesaikan segala obligasi dan liabilitinya di bawah undang-undang yang mengawal perkahwinan sivilnya dahulu, iaitu Akta 164, iaitu seperti pembubaran perkahwinan, pemberian nafkah kepada bekas isteri dan anak, hak jagaan anak dan pembahagian aset perkahwinan," katanya