Walaupun bukan satu kewajipan tetapi amalan dan kesedaran mengenai kebaikan berkhatan dalam kalangan orang bukan Islam juga semakin tinggi.

Namun, bagi tiga beradik berketurunan Cina di Taman Mahsuri, Jitra, mereka memilih untuk turut serta bersama 57 rakan-rakan lain 'bersunat' dalam satu majlis anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan itu.

Nenek kanak-kanak itu, Bok Yit Choo, 59 berkata, dia mengambil keputusan untuk meletakkan nama tiga cucunya sebagai peserta majlis berkhatan tersebut.

Katanya, sejak bergaul dengan rakan Melayu di kawasan ini, dia melihat amalan tersebut sebagai titik permulaan dalam menjaga kebersihan dan kesihatan diri.

"Cucu saya, Lee You Jin, 4; Lee You Quan, 7 dan Lee Ming Xuan, 10 tidak membantah malah seronok bersama rakan mereka dalam program ini.

"Apabila mereka besar mereka sedar akan kebaikan perkara ini (berkhatan). Bukan semua orang Cina faham tentang perkara ini kerana ada yang takut," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Bagi Pengerusi KRT Taman Mahsuri, Ahmad Shaker Ahmad berkata, penduduk di kawasan itu memberikan sokongan sepenuhnya kepada program yang julung kali diadakan.

"Selaku ahli jawatankuasa penganjur, saya tidak menyangka sambutan yang begitu memberangsangkan walaupun kita mewar-warkannya pada saat-saat akhir.

"Tahun depan saya merancang untuk memperhebatkan program ini yang merupakan salah satu program perpaduan di KRT kami," katanya.

Bagi memeriahkan program berkhatan itu, 60 kanak-kanak terbabit dibawa menaiki 12 kenderaan pacuan empat roda sebelum disembur dengan air pancut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mereka turut diiringi dengan paluan gendang ketika diarak memasuki pekarangan Dewan Taman Mahsuri.