Tiga beranak termasuk seorang warga emas dan seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU) mampu menarik nafas lega apabila mereka sempat diselamatkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah dalam kejadian banjir kilat di Batu 26, Jalan Kampung Timah, di sini, hari ini.

Tiga beranak itu Ahmad Saidin, 89, dan isteri, Fatimah Muhammad Yusuf, 59 serta anak mereka seorang OKU, Samat Ahmad, 38 berjaya diselamatkan dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir kilat bermula daripada jam 3 petang itu.

Ketua BBP Batu Gajah, Penolong Penguasa Bomba Jamaluddin Mat Yusop berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada jam 6.14 petang dan segera ke lokasi kediaman tiga beranak itu yang terletak berhampiran dengan tali air.

"Setibanya kami di kediaman, didapati paras air telah mencecah ketinggian sehingga 0.3 meter (satu kaki), dan terdapat empat beranak, Ahmad dan isterinya, Fatimah selain anak mereka, Samat yang merupakan seorang OKU. Selain itu kami juga telah memindahkan seorang lagi anak angkat mereka yang merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun.

"Sejurus selepas itu, kami telah memindahkan mereka ke rumah jiran berdekatan yang tidak ditenggelami air kerana agak tinggi. Mereka kini menumpang sementara menanti air surut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, pemantauan berterusan pihaknya mendapati keadaan air mulai surut dan kembali seperti biasa dan operasi memindahkan mangsa tamat sekitar 8.38 malam.