Seorang pemandu serta dua pelajar cedera manakala 10 lagi terselamat apabila van dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM7.7 Lebuhraya Guthrie menghala ke Shah Alam di Sungai Buloh, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt S. Somu berkata, van persendirian yang dipandu wanita berusia 44 tahun, membawa enam pelajar lelaki dan enam pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya apabila ia dipercayai hilang kawalan setelah tayar depan sebelah kanan kenderaan itu pecah jam 6.50 pagi.

"Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan di tangan kanan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga patah tulang selangka bahu kanan dan seorang pelajar Tingkatan Lima mengalami luka kecil di tangan kanan.

"Penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- Bernama