Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tiga rakan selepas didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur Nor Liana Nor Wahi, 36 tahun; jurugambar Mohd Azeryee Anuar, 32; dan pengawal keselamatan Kamarudin SK Abdul Halim, 33.

Mohd Zaki menjatuhkan hukuman itu setelah pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 19 September 2011, di antara jam 7 hingga 7.45 malam di bilik 310, Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah, Sungai Petani dalam mencapai hasrat bersama membunuh Mohd Nasir Isahak, 39, dan boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun yang sama.

Mereka dijatuhkan hukuman seperti yang diperuntukkan di bawah Sekysen 302 Kanun Keseksaan iaitu hukuman mati pada tarikh dan tempat yang akan ditentukan kemudian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naizatul Zima Tajudin manakala Nor Liana diwakili oleh peguam Rafael Abdullah dan dua tertuduh lagi diwakili Datuk Naran Singh.