Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pegawai Perbadanan Perumahan (HDC) Miri bagi membantu siasatan tender mengecat dan membaik pulih yang tidak dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik.

Seorang lagi yang ditahan merupakan pengurus yang dilantik untuk melaksakan projek tender yang dibuka pada April 2015 lalu.

Menurut sumber, tender itu sudah dibuka oleh HDC Sarawak pada 2015 bagi kerja-kerja mengecat dan membaik pulih 12 unit flat dua tingkat di Miri yang terbakar.

"Sebanyak 10 permohonan diterima dengan sebuah syarikat kemudiannya dilantik melalui nilai tawaran harga melebihi RM2 juta.

"Bagaimanapun syarikat itu melantik sebuah lagi syarikat sub kontraktor milik individu lain bagi melaksanakan kerja-kerja mengecat dan membaiki kerosakan 47 blok bangunan," katanya.

Difahamkan, maklumat berhubung kes tersebut diperoleh SPRM menerusi Laporan Audit Negara 2016.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata suspek akan direman esok bagi membantu siasatan.