Pasangan suami isteri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah yang bersidang di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap enam pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin Sekolah Kebangsaan Gelam-Gelam Semporna, pada tahun 2017.

Mohammad Endra Abd Sarakal, 39, dan isterinya Barmah Wati Hassan, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, selepas kesemua pertuduhan dibacakan.

Tuduhan pertama, Endra dan Barmah dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Lesen Berniaga Syarikat E-Pah Corporation, No Permohonan: 1378/2017, dipercayai adalah dokumen palsu digunakan sebagai tujuan menipu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dengan bersama dan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Bumiputera No Sijil: BPS5388587260877421, No Rujukan: 357-20006350 serta No Sijil: KS5388587260877421, No Rujukan: 357-20006350 atas nama syarikat E-Pah Corporation, yang dipercayai dokumen itu adalah palsu dan digunakan untuk tujuan menipu.

Manakala bagi pertuduhan keempat dan keenam, pasangan suami isteri ini menggunakan penyata akaun semasa Maybank Islamic No: 560045056064 bertarikh 31 Okt, 31 Nov dan 31 Dis 2016 juga atas nama Syarikat E-Pah Corporation, untuk tujuan menipu.

Endra dan Barmah mengemukakan semua dokumen palsu itu di Pejabat Pendidikan Daerah, Semporna pada 25 Januari 2017, bagi mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin Sekolah Kebangsaan Gelam-Gelam Semporna, untuk tempoh dua tahun (24 bulan) mulai 1 Feb 2017 hingga 31 Jan 2019.

Kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 456 Kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Clementine Severinus, menawarkan jaminan RM20,000 terhadap pasangan suami isteri itu dengan dua penjamin tetap manakala Endra dan Bermah yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan, kerana mereka kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menjual kuih di kampug.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu dijamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 seorang, serta dengan seorang penjamin tempatan, selain perlu melapor diri ke pejabat SPRM Tawau dua bulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Abu Bakar menetapkan 4 Sept depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Sementera itu, di mahkamah yang sama, Abu Bakar turut menetapkan tarikh sama kepada Imrah Bakalanah, 54, sebagai sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen, selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendapatkan suapan RM16,000 pada tahun 2015.

Tertuduh yang merupakan seorang Pembantu Tadbir Kanan Kewangan dengan Gred W22 di Hospital Semporna, menggunakan jawatannya pada 2 Nov 2015, di Pejabat Unit Kewangan Hospital Semporna untuk mendapatkan suapan RM16,000, dengan cara meluluskan Pesanan Kerajaan bagi kerja penyelenggaraan kuarters rumah RM19,800 kepada Syarikat Sharizman Jaya Development, yang mana kerja-kerja itu dilaksanakan oleh tertuduh sendiri.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Abu Bakar membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan deposit RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan dan tertuduh diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM Tawau dua bulan sekali, selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Imrah diwakili peguam Darmin Achok, manakala pendakwaan turut dikendalikan Clementine.

-- BERNAMA