Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga daripada enam pesakit yang dimasukkan ke wad Hospital Tanah Merah, Kelantan menghidapi jangkitan kencing tikus, dan bukan mengalami ‘virus misteri’ seperti yang didakwa sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, jangkitan kencing tikus tersebut berkemungkinan berpunca daripada pencemaran kotor selepas banjir di kawasan berkenaan.

“Sampai semalam kita telah mengesan bahawa tiga daripada mereka yang masuk wad dijangkiti penyakit kencing tikus.

“Kalau lihat kepada masa tanda-tanda mula dan pengesahan itu kemungkinan jangkitan mula sebelum mereka pergi ke Kajang.

“Pihak kesihatan awam sedang siasat perkara ini untuk menentukan apa puncanya dan kita pun sedang buat pemeriksaan pada mereka yang ada tanda demam, untuk pastikan mereka ada penyakit sama atau masalah lain,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Ponggal Muafakat Johor di Taman Hutan Bandar, di sini.

Jelasnya, kawasan Tanah Merah turut terlibat dengan banjir dan penyakit berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan banjir, bagaimanapun ia perlu disahkan menerusi pemeriksaan lanjut oleh kumpulan kesihatan awam melibatkan ujian air kencing, ujian darah dan mengambil sampel di tempat yang disyaki.

Sebelum ini, 40 ahli keluarga dikuarantin di hospital kerana disyaki diserang ‘virus misteri’ selepas bercuti di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Serangan itu menyebabkan seorang daripada ahli keluarga itu yang berusia 59 tahun meninggal dunia.

“Oleh itu, saya nasihat kepada rakyat keseluruhannya agar tidak risau terhadap perkara ini dan pada keseluruhannya kita mempunyai keupayaan untuk mengesan penyakit dan memberi rawatan sewajarnya.

“Biasanya, kesannya tak berapa teruk melainkan kes tertentu. Tetapi kita kena amalkan kebersihan diri yang optimum kerana itu yang paling mustahak,” jelas Dr Subramaniam.

Semalam, dua murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera 2 Melaka tengah disyaki menghidap H1N1 selepas mengalami batuk teruk.

Murid pertama dimasukkan ke wad Hospital Melaka selepas mengalami demam dan batuk sejak tiga Februari lalu, namun dibenarkan pulang pada 7 Februari, manakala rakan sekelasnya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta sejak Rabu dan masih menerima rawatan.

Hasil pemeriksaan lanjut di sekolah berkenaan, sembilan murid menunjukkan simtom yang sama.