Tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana disyaki bersubahat menerima rasuah dan salah guna kuasa direman enam hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga selasa depan dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Nur Hayatie Mohd Saini selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abd Karim.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua suspek berusia 30 hingga 47 tahun itu yang memakai pakaian lokap SPRM dibawa ke Kompleks Mahkamah Seremban dengan menaiki dua buah kenderaan pacuan empat roda sekitar 10.30 pagi sebelum dibawa keluar kira-kira sejam 30 minit kemudiannya.

Semalam, SPRM menahan 11 individu, termasuk seorang pegawai teknik TM kerana dipercayai terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa antara nilai RM4 hingga RM6 juta.

Difahamkan, aktiviti berlaku di antara 2016 dan mac 2017.

Semua suspek disyaki bersubahat dan terbabit mengemukakan 55 dokumen 'maintainance order' dan surat kebenaran mengambil kabel mengandungi butiran palsu kepada TM, dipercayai untuk mengeluarkan kabel dari gudang syarikat berkenaan.

Sumber memaklumkan, operasi menahan semua suspek dilancarkan pukul 2 petang hingga 6.30 petang, semalam di beberapa lokasi, antaranya Batu Caves, Damansara Damai, Kajang dan Seri Kembangan, selain di Seremban, Negeri Sembilan.