Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan tiga lagi kawasan iaitu Pekan Siburan, Kampung Temang Mura, Tebedu dan Rumah Janta Punggu Mawang di Sri Aman sebagai kawasan wabak anjing gila.

Sekretariat JPBN Sarawak dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN, Datuk Douglas Uggah Embas.

"Mesyuarat penyelarasan turut dimaklumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bahawa laporan hasil keputusan makmal yang baru diterima mendapati masih terdapat sampel positif anjing dan kucing dalam lingkungan 10 kilometer kawasan wabak di Bahagian Serian (Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang,Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Bandar Serian dan Batu 45 Jalan Kuching-Sri Aman).

"Operasi bersepadu yang dikelolakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dan Kementerian Kerjaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah giat dijalankan di pasar batu 7, 10 dan Siburan, operasi ini dijalankan selepas pengisytiharan Pekan Siburan sebagai kawasan positif rabies kepada anjing," kata kenyataan itu.

Sebagai rekod, tujuh kawasan iaitu Kampung Tangga, Kampung Paon Sungai Rimu, Kampung Paon Sungai Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Krait dan Kampung Saroban sebelum ini telah diisytihar sebelum kawasan wabak rabies.

Menurut sekretariat itu, sehingga hari ini, JPVS telah memvaksin 9,185 ekor haiwan, dari jumlah tersebut 2,656 ekor anjing, 6,491 ekor kucing dan 38 ekor lain-lain.

"Sebanyak 146 kes gigitan baru telah dikesan yang berlaku dari 2 hingga 18 Julai dimana 49 kes merupakan kes gigitan yang berlaku pada hari ini. Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku semenjak 1 April hingga ke hari ini berjumlah 415, seramai 298 orang telah datang untuk menerima vaksin," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat penyelarasan hari ini turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Zoonosis Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Vickneshwaran Muthu, Non-Executive Directors of Vets Beyond Borders Australia Dr. Andrea Britton dan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan Sarawak.

Wabak rabies telah meragut empat nyawa di negeri ini.

Semalam Florancesia Edward, berusia 5 tahun, dari Kampung Ampungan, Serian, meninggal dunia selepas mangsa ketiga Alicesa Lorenna Nody, 7, dari Kampung Lebor, Gedong meninggal dunia pada Khamis lepas.

Manakala dua adik beradik dari Kampung Paon Sungai Rimu Bakung, Serian, Monica Mazlan, 6 dan Jackson Mazlan, 4 meninggal dunia pada 4 Julai lepas.

--BERNAMA