Tiga kementerian baharu yang diwujudkan di bawah Kabinet negeri Sabah tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan dan ketirisan dengan agensi di peringkat persekutuan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pewujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, dan Kementerian Hal Ehwal Anak Negeri akan diberikan tumpuan sepenuhnya untuk manfaat rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan memastikan bahawa tiga kementerian baharu ini akan diselaraskan melalui koordinasi agar tidak berlakunya ketirisan atau tindihan dengan Kerajaan Persekutan.

"Pewujudan tiga kementerian baharu ini sudah saya nyatakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat awal bahawa ini merupakan perkara yang kita akan memberi tumpuan.

"Pendidikan kita di Sabah jauh ketinggalan, begitu juga dari sudut kesihatan di mana ada banyak rungutan daripada akar umbi.

"Jadi undang-undang perlu kita selaraskan untuk mengelakkan permasalahan, salah faham dan pergeseran di antara satu dengan yang lain maka dengan itu, kita wujudkan tiga kementerian ini dan pertindihan tidak akan berlaku, cuma koordinasi," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Penjawat Awam Persekutuan Bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS), pada Khamis.

Hadir sama, isterinya Datin Seri Shuryani Shuib, Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R. M. Jasni.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut menjelaskan, pewujudan tiga kementerian ini tidak akan menjejaskan pendapatan hasil negeri walaupun ianya akan meningkatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri.

"Saya yakin kalau ada pun penambahan kos, ia merupakan satu perkara yang menjadi keutamaan kerana kita perlu mendaulatkan 'human resources' (sumber manusia) dalam usaha melonjakkan lagi pentadbiran dan pembangunan modal insan di negeri ini," katanya.

Pada majlis tersebut, dianggarkan lebih 700 anggota perkhidmatan awam daripada beberapa jabatan daripada seluruh negeri Sabah hadir memeriahkan majlis dan lebih 60 gerai menyajikan pelbagai jenis makanan tempatan.