Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan satu daripada tiga kementerian yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan mengawal selia penggunaan rokok elektronik
dan vape.

KPDNKK dalam satu kenyataan di sini pada Khamis menyebut, dua kementerian lain yang diberikan peranan melalui ketetapan yang diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri semalam adalah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menerusi keputusan itu, KPDNKK dipertanggungjawab untuk mengawal selia dan menguatkuasakan Peraturan Standard Keselamatan bagi bateri dan peranti rokok elektronik dan vape di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Selain itu, kementerian itu juga akan mengawal selia dan menguatkuasa penandaan maklumat berkaitan pada label peranti dan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape melalui akta sedia ada seperti Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730); Akta 599; Akta Kawalam Harga dan AntiPencatutan (Akta 723) dan Akta
Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).

Aktiviti perlesenan, pengeluaran, pengedaran termasuk import, eksport dan peruncitan peranti serta cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape di bawah akta baharu akan dikawal selia oleh KPDNK, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Kesihatan dipertanggungjawab mengawal selia penjualan cecair yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952, menjadikan penjualan sediaan yang mengandungi nikotin hanya dibenarkan oleh farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk
tujuan rawatan perubatan.

Kementerian itu juga bertanggungjawab mengawal selian penjualan, promosi dan pelabelan yang berkaitan dengan kesihatan bagi cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape selain larangan merokok termasuk larangan penggunannya bagi orang di bawah umur.

Sementara itu, MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia pula akan membangunkan standard bagi bateri, peranti dan pembungkusan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape berdasarkan Akta Standard Malaysia 1996.

Lanjutan daripada keputusan itu, Kementerian Kesihatan akan menggubal undang-undang baharu menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, manakala KPDNKK pula menggubal undang-undang baharu berhubung kawalan rokok elektronik dan vape yang tidak mengandungi nikotin dalam tempoh dua tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, penjualan rokok elektronik dan vape adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sedia ada yang dikawal selia oleh kementerian serta agensi berkaitan, menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPDNKK juga akan menjalankan kajian mengenai kaedah pengawal seliaan rokok elektronik dan vape manakala Kementerian Kesihatan melaksanakan kajian lanjut berhubung kesan pengggunaannya terhadap kesihatan.

Sehubungan itu, KPDNKK mahu semua pengusaha vape supaya mematuhi undang-undang sedia ada dan juga mendapatkan kelulusan ujian verifikasi daripada SIRIM serta memberi jaminan bahawa barangan berkenaan selamat untuk digunakan sebelum diedar atau dijual kepada pengguna.