Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan tiga lagi kes positif dikesan dalam Kluster Kurau di Pulau Pinang, menjadikan lima kes positif setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kes tersebut dikenal pasti hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat membabitkan kes positif dalam kluster tersebut.

Setakat ini, kluster tersebut melibatkan dua buah negeri iaitu Perak dan Pulau Pinang, tambah beliau.

"Mereka merupakan ahli keluarga kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9,050), iaitu adik, biras dan anak saudara beliau yang berumur dua tahun.

"Kes pertama telah mempunyai kontak rapat dengan kesemua kes baharu ini semasa aktiviti kunjung-mengunjung menjelang Hari Raya Aidiladha iaitu pada 30 Julai 2020.

"Anak saudara kes ke-9050 (iaitu kes ke-9093) didapati mempunyai gejala demam dan selesema sejak 30 Julai 2020. Manakala, adik dan biras kes ke-9050 tidak mempunyai sebarang gejala. Ketiga-tiga kes baharu ini telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak," katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.

Jelas Dr Noor Hisham, seramai 125 orang telah disaring dalam kluster tersebut, setakat ini.

"Lima kes dikesan positif COVID-19; 112 negatif; dan lapan masih menunggu keputusan.

"Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan. Punca jangkitan masih di dalam siasatan," katanya.

Dalam perkembangan, Dr Noor Hisham berkata tiada kes baharu di kesan membabitkan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, menjadikan jumlah kes positif kekal 44 kes.

Jelas beliau lagi, aktiviti kunjung-mengunjung ketika musim perayaan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikenal pasti antara punca utama penularan wabak COVID-19 daripada Kluster Pesakit PUI Sivagangga dan Kluster Kurau.