Tiga terkorban selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka hancur teruk akibat impak perlanggaran dengan sebuah kereta Toyota Camry dan tersasar ke laluan bertentangan di Kilometer 52 Jalan Tatau-Bintulu Sarawak di sini hari ini.

Dalam nahas yang berlaku jam 1.45 petang itu ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa adalah pemandu Proton Wira, Bakie Ladin, 33 tahun, Jeanety Liab Liana Lily, 9 tahun dan Sai Imong.
Manakala penumpang yang cedera dikenali sebagai Lily Kawan, 42 tahun.

Foto Astro AWANI
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, Nazari Harun berkata, kenderaan dinaiki ketiga-tiga mangsa sebelum itu hilang kawalan selepas melanggar sebuah kereta lain di hadapan dan tersasar ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan.
"Empat mangsa tersepit sebelum pasukan petugas berjaya mengeluar mereka.
"Malangnya, tiga disahkan meninggal serta-merta di lokasi kejadian dan seorang mangsa yang cedera dirujuk ke hospital berdekatan.

"Sejurus kami menerima laporan jam 1.47 petang, pihak bomba telah bergegas ke lokasi kejadian," katanya mengesahkan kejadian berkenaan.
Kesemua mangsa terkorban diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.