Susulan kes kutipan wang perlindungan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkini menahan tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) cawangan Sungai Buloh.

Ketiga-tiganya disyaki terlibat menerima rasuah bagi melindungi premis-premis perniagaan yang tidak berlesen, termasuk pusat perjudian, di sekitar Sungai Buloh.

Menurut sumber, hasil soal siasat mendapati, wujud rangkaian sindiket di kalangan anggota penguat kuasa yang mengutip wang rasuah secara bulanan, bagi melindungi premis-premis berkenaan.

"Tiga yang ditahan berusia di antara 40 dan 43 tahun, pada lebih kurang jam 2 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Wang perlindungan ini seolah-olah menjadi suatu budaya di kalangan penguat kuasa sehingga menyebabkan peniaga-peniaga termasuk premis judi tidak takut kepada sebarang tindakan penguatkuasaan," katanya.

Ketiga-tiga anggota penguat kuasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

BACA: Lindungi premis haram: Penolong pegawai penguat kuasa direman 7 hari

BACA: Judi Sungai Buloh: Rombakan dalaman diputuskan selepas siasatan selesai - KPN

BACA: PBT di Selangor digesa ambil tindakan terhadap anggota salah guna kuasa

Sebelum ini, dilaporkan SPRM telah menahan lima penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok seludup berbangsa Acheh.

Dengan tahanan terbaru ini, jumlah tangkapan dalam kes melindungi premis haram setakat ini adalah sembilan orang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.