Polis menahan tiga lelaki geng curi duit tabung masjid dan surau di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Kepala Batas dalam serbuan berasingan di sini pada Khamis dan Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menahan lelaki pertama berusia 21 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Khamis, sebelum menahan rakannya berumur 20 tahun pukul 11.50 pagi Jumaat.

"Berdasarkan siasatan, dua lelaki itu terlibat sekurang-kurangnya 17 kes curi duit tabung masjid dan surau di sekitar daerah SPU sejak tahun lepas dan polis tidak menolak kemungkinan mereka turut terlibat di daerah lain," katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dua lelaki tidak bekerja itu untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka antaranya parang, spanar, pemutar skru dan besi pengumpil.

Katanya dua lelaki yang turut mempunyai rekod jenayah itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 379 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes ketiga, Noorzainy berkata tindakan pantas penduduk kampung yang terdengar bunyi mencurigakan dari dalam masjid di Kampung Kota Aur, Penaga di sini sebelum membuat intipan berjaya menahan lelaki yang sedang mencuri duit tabung di situ dalam kejadian awal pagi Khamis.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, lima penduduk yang kebetulan sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan ternampak seorang lelaki masuk ke dalam masjid sebelum bunyi bising dan mereka bertindak mengintip untuk melihat apa yang sedang dilakukan suspek," katanya.

Katanya lelaki itu dilihat sedang memecahkan tabung masjid dengan menggunakan sebatang besi pengumpil tayar dan lima lelaki berkenaan bertindak menahan suspek sebelum menyerahkan kepada polis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menemukan wang sebanyak RM55 pada lelaki berusia 25 tahun itu, dipercayai dicuri dari tabung masjid dan siasatan menunjukkan suspek terlibat enam kes pecah tabung masjid sejak awal tahun ini.

"Lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. -- Bernama