Tiga lelaki termasuk seorang yang digelar 'Datuk' ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan dikenali 'Pelaburan Jasman' yang membabitkan kerugian mencecah jutaan ringgit di tiga lokasi berasingan, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata mereka yang berusia lingkungan 40 hingga 53 tahun itu ditahan di Bukit Tinggi, Klang; Kampung Melayu, Subang dan Tumpat, Kelantan.

"Dalam tangkapan pertama kita menahan seorang lelaki yang dipercayai ejen pelaburan ini kira-kira pukul 5 pagi di sebuah hotel di Bukit Tinggi hasil daripada maklumat orang awam.

"Susulan soal-siasat ke atas suspek pertama membawa penahan seorang lelaki berusia 40 tahun di Subang yang dipanggil Datuk dalam kalangan pelabur serta seorang lagi lelaki yang merupakan suspek utama kes ini di Tumpat, Kelantan berusia 53 tahun," katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Beliau berkata menerusi tiga tangkapan itu, polis turut merampas tiga kenderaan mewah termasuk sebuah Vellfire selain jam tangan, beg berjenama dan pelbagai jenama telefon bimbit.

Katanya, sindiket yang aktif sejak 2016 itu telah memperdayakan lebih 2,000 mangsa menerusi ceramah yang dianjurkan mereka selain menunjukkan dokumen seperti cek bagi meyakinkan mangsanya.

Katanya, setiap bakal pelabur atau mangsa dijanjikan keuntungan RM1 bilion untuk setiap pelaburan berjumlah RM1,000.

"Polis percaya semua mangsa terlibat dari seluruh negara memandangkan ejen pelaburan itu bergerak di setiap negeri.

"... dan polis masih mengesan empat lagi individu dipercayai agen pelaburan itu bagi membantu siasatan yang dikenali sebagai Khamisah Abdul Rahman, Roslan Razak, Roslan Mustafa dan Ferra," katanya.

Katanya, orang ramai yang telah menjadi mangsa pelaburan sendiket itu diminta tampil membuat laporan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Kesemua suspek itu kini ditahan untuk siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

--BERNAMA