Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru, Johor atas 899 pertuduhan mengubah wang haram melibatkan nilai kira-kira RM 1.7 billion ringgit sejak tahun 2012 hingga 2016.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan hakim Kamarudin Kamisun dan hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melupuskan, memiliki, menerima dan memindahkan wang tersebut membabitkan nilai dan bank berbeza.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sekitar Johor Bahru.

Tertuduh, Muhammad Razik Mohamed Riyaludin, 36 tahun berdepan 352 pertuduhan, Mohamed Thamimul Ansari, 41 tahun, 351 pertuduhan dan Ramli Mohd Hassan, 59 tahun, 156 pertuduhan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda RM 5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Husmarudin Husin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Mahendran Mahason.

Muhammad Razik dan Mohamed Thamimul diikat jamin masing-masing empat juta ringgit dengan dua penjamin manakala Ramli diikat jamin 2.8 juta ringgit, juga dengan dua penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan kesemua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa dan menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes.