Tiga lelaki berusia 21 hingga 31 tahun ditahan polis di dua lokasi berasingan sekitar daerah ini kerana ingkar arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain terlibat dengan kesalahan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Syed Basri Syed Ali berkata, tangkapan pertama yang dibuat sekitar jam 10.45 malam pada Khamis melibatkan suspek yang berusia 21 dan 22 tahun di Jalan Kampung Batu 3, Kuala Ketil.

Kedua-dua mereka yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi gagal memberi alasan munasabah selepas disoal siasat pihak polis.

Pemeriksaan lanjut yang dilakukan pihak polis ke atas salah seorang suspek turut menjumpai satu paket plastik disyaki dadah jenis syabu seberat 2.3 gram.

Sementara itu, tangkapan kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun di Simpang Tiga Kampung Hangus, Kupang, kira kira jam 11 malam, kerana berada di tepi jalan tanpa alasan yang kukuh dan munasabah.

Syed Basri berkata, pemeriksaan ke atas suspek menjumpai dua paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 1.22 gram.

Lelaki terbabit turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan ke atasnya.

Ketiga tiga suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Dua daripada tiga suspek yang positif dadah juga turut akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1983.