Sebuah kedai emas di Taman Segar Perdana, Batu 9 Cheras kerugian empat dulang emas setelah disamun tiga lelaki, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff kumpulan itu bersenjatakan objek menyerupai sepucuk pistol.

"Pihak polis terima panggilan pada 2.58 petang oleh orang awam yang memaklumkan sebuah premis kedai emas disamun tiga lelaki.

"Mereka sempat melarikan empat dulang emas dari premis terbabit.

"Tiada sebarang tembakan dilepaskan dan mangsa tidak mengalami kecederaan di dalam kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata anggaran kerugian masih dalam siasatan dan pihaknya sedang mengenal pasti identiti kesemua suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811.