Tiga lelaki nyaris maut apabila kenderaan yang dipandu mereka dihempap pokok dalam kejadian ribut di dua lokasi berasingan di sini, petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Pegawai Bomba Kanan II, Ibrahim Mohd Rohni berkata, ketiga-tiga pemandu berusia antara 20 ke 30an yang sedang memandu kenderaan masing-masing ketika ribut melanda.

Katanya, lokasi pertama membabitkan dua kereta di jambatan pekan Jelawat dan lokasi kedua membabitkan sebuah kereta di Tangok sekitar jam 5 petang tadi.

"Dalam kejadian ribut petang tadi, kenderaan di sekitar Jelawat bergerak perlahan namun dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Satria dihempap pokok yang tumbang merintangi jalan di Pekan Jelawat," katanya ketika dihubungi.

Foto Astro AWANI/Vivi Sumantri

Beliau berkata, satu lagi kereta jenis Perodua Kancil dihempap pokok di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tangok.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang memandu seorang diri sempat keluar menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memotong pokok yang tumbang membabitkan sembila anggota dan satu jentera, manakala di Tangok hanya beberapa minit bagi membolehkan kesemua pemandu meneruskan perjalanan," katanya.

Foto Astro AWANI/Vivi Sumantri

Ibrahim berkata, ini kejadian ribut kali kedua berlaku di Bachok membabitkan pokok tumbang.

Sementara itu, kejadian ribut dipercayai mengganas di Jelawat jam 5 petang tadi turut mengakibatkan kerosakan beberapa kedai dan menakutkan penduduk.