Sekumpulan tiga lelaki tempatan diberkas selepas menghantar seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin menyeludup keluar dari Sabah dalam satu serbuan di kawasan Restoran Al-Kafi, Jalan Sapi, di sini, pada Isnin.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.15 malam itu, semua suspek yang ditahan berumur dua hingga 40 tahun, terdiri daripada sembilan lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak perempuan.

Pegawai Pemerintah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil makluman awam, sepasukan tujuh anggota dihantar ke lokasi itu bagi menjalankan serbuan.

Menurutnya, sebaik tiba terdapat tiga lelaki tempatan sedang sibuk memunggah barang dari dua buah pacuan empat roda ke sebuah lori kargo.

“Tiga lelaki itu merupakan pemandu dan dipercayai penghantar PATI yang ingin menuju ke Tawau untuk pulang ke Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut di hujung kedai berjaya menemui enam lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak.

“Siasatan lanjut mendapati, PATI itu dari kawasan Paitan menaiki dua pacuan empat roda dan cuba menaiki lori kargo berkenaan di lokasi itu untuk menuju ke Tawau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, PATI terbabit dipercayai membayar RM700 seorang bagi perkhidmatan berkenaan.

Tambahnya, semua suspek ditahan manakala barangan serta tiga kenderaan digunakan dirampas untuk tindakan lanjut.