Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyenaraikan 49 organisasi kongsi gelap di seluruh negara yang diisytiharkan haram yang memiliki 40,313 ahli berdaftar.

Senarai itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam satu sidang media pada Khamis.

Daripada jumlah itu katanya, 28,926 menyertai kongsi gelap India, 8,214 menganggotai kongsi gelap Cina dan seribu 923 kongsi gelap Melayu.

Manakala, 329 dan 921 masing-masing menyertai kongsi gelap di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut mengesahkan Geng 08 dan Geng 04 adalah geng paling berbahaya dengan aktiviti termasuk penjualan dadah dan penggunaan senjata api ketika melakukan jenayah.

Pendedahan itu bertujuan memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai kewujudan pertubuhan haram serta kongsi gelap di negara ini.

Katanya kumpulan itu dikategorikan haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.

Abdul Rahim menjelaskan kumpulan kongsi gelap berkenaan dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

"Mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api atau barang-barang tajam seperti parang, pisau, kuku kambing dan sebagainya," kata beliau.

Abdul Rahim berkata dengan pengisytiharan itu, tiada individu atau pihak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk didaftarkan sebagai pertubuhan.

Beliau berkata segala akaun, aset dan harta pertubuhan kongsi gelap tersebut akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi.

Selain itu, katanya tiada individu boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menghasut, mendorong, mendapatkan yuran atau bantuan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pertubuhan kongsi gelap.

Beliau berkata mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan kongsi gelap akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335.

kongsi