Bimbang keselamatan terancam, tiga buah keluarga di banglo Jalan Lee Yun, Taman Zoo View Ampang diarah mengosongkan kediaman mereka selepas cerunan bukit runtuh sehingga menutup sebahagian laluan masuk.

Kejadian berpunca daripada hakisan tanah ketika hujan lebat selama beberapa jam.

Menurut Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Ariff Mohamed Kassim, runtuhan mampu mengundang bahaya kepada pemilik rumah berkenaan berikutan jarak belakang premis hanya sekitar 4.5 meter.

“Kita dapati masih lagi berlaku pergerakan pada tanah tersebut dan beberapa pokok didapati tumbang sehingga pukul 7 petang tadi.

“Agensi bantuan seperti TNB dan MPAJ datang bersama untuk membantu membersihkan pokok yang tumbang sepanjang jalan ini,” katanya.

Sebuah jentera dari balai Bomba dan Penyelamat Ampang turut bergegas ke lokasi kejadian.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.