Hajat tujuh sekeluarga menyambut perayaan Krismas di Miri tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut selepas van Nissan Venette dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Frontier di jalan Serian-Tebedu di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, kemalangan pukul 7.20 pagi itu mengakibatkan pemandu van, Henry Gek, 51, penumpang hadapan, Susin Tatak, 49, dan penumpang belakang, Olovia Natasa Dismas, 20, maut di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga lagi individu cedera parah iaitu pemandu Nissan Frontier, Webster Ngihang, 28, serta penumpang van, Noreni Idi, 44, dan Davevians Dismas, 14.

Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Nissan Frontier itu sedang memotong sebuah kenderaan semasa menaiki Bukit Biong menuju Tebedu.

Bagaimanapun, menurut Aswandy ketika dihubungi, van jenis Nissan Venette dipandu Henry yang sedang menuruni bukit dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan pacuan empat roda tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, impak rempuhan itu mengakibatkan pemandu serta penumpang hadapan van itu tersepit manakala Olovia Natasa yang duduk di belakang turut ditemui tersepit serta mengalami kecederaan parah.

Tambahnya, pemandu Nissan Frontier mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Dua lagi penumpang van, Rufina Elia Susin, 19, dan Nataleya Natasa Dimas, 12, didapati cedera di beberapa bahagian badan serta kepala.

Jelasnya, kesemua mangsa cedera sedang menerima rawatan di Hospital Serian dan akan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.