Tiga maut manakala dua cedera parah dalam sebuah kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik berhampiran Kg Selat Pagar di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar 4.30 petang itu, dua daripada mangsa wanita maut setelah tercampak keluar dari kenderaan Perodua MyVi manakala seorang lagi wanita maut di dalam kenderaan berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 4.44 petang dan bergegas ke lokasi.

“Setibanya kami di tempat kejadian, didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah Perodua MyVi, di mana MyVi itu membawa lima orang wanita, tiga disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu dan seorang lagi penumpang mengalami kecederaan parah.

“Sebuah lagi kenderaan Proton Exora pula membawa lima orang mangsa, dua daripadanya, seorang lelaki dan wanita cedera manakala tiga kanak-kanak lelaki hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita.

Katanya, sebuah lagi kenderaan Kia Spectra turut terlibat dalam kemalangan berkenaan dengan dua mangsa di dalam kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelas beliau, pasukan BBP Lenggong yang tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua kenderaan MyVi dan Exora telah bertembung secara berhadapan dan impak kemalangan berkenaan telah menyebabkan insiden tersebut.

“Pihak kami menggunakan peralatan memotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa dan operasi tamat sepenuhnya sekitar 6.30 petang,” katanya lagi.