KUALA LUMPUR:Syarikat Common Tower Technologies Sdn Bhd (CCT) akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar di Kampung Gusi, Ranau, Sabah melalui teknologi Terminal Satelit Apertur Sangat Kecil (VSAT) pada 15 Disember ini.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), perkhidmatan disediakan anak syarikat milik penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd itu sebagai penyelesaian sementara kepada masalah capaian internet di kawasan berkenaan.

Ia susulan insiden melibatkan lapan pelajar yang terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan capaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian di sini baru-baru ini.

"Pengurus Besar CTT, Law Chun Ming mengesahkan pemasangan tersebut dan ia merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat daripada pihak CTT.

"Selain itu, tiga menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Lokasi-lokasi tersebut telah dinyatakan di dalam dokumen tender yang dikeluarkan oleh MCMC pada 20 November 2020," kata MCMC dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Dalam kejadian di kampung itu baru-baru ini, lapan pelajar berkenaan terjatuh dari paras 18 meter apabila kabel jambatan berusia 10 tahun itu terputus.

Tiga daripada mereka mengalami kecederaan membabitkan patah bahagian paha dan betis, selain kecederaan tulang belakang.

Mengulas lanjut, MCMC menzahirkan simpati atas situasi yang menimpa pelajar-pelajar berkenaan dan sempat berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah untuk bertanyakan khabar mengenai keadaan ketiga-tiga pelajar yang cedera.

"Semua pelajar dinasihatkan untuk tidak membahayakan diri dalam usaha mencari capaian internet," ujarnya.