Polis menumpaskan kumpulan curi motosikal di sekitar daerah ini, dikenali sebagai 'Geng Kutaq' yang dianggotai 10 remaja termasuk tiga pelajar sekolah.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Zundin Mahmood berkata kumpulan itu diketuai seorang remaja bernama Kuntaq, 18, dan mula aktif mencuri motosikal sekitar November tahun lalu.

Beliau berkata semua suspek yang berusia antara 14 dan 18 tahun itu ditahan secara berasingan dalam Op Lejang selama tiga hari bermula 4 Mei lalu, di sekitar daerah ini.

"Polis percaya penahanan mereka dapat menyelesaikan 13 kes curi motosikal di daerah ini. Pada operasi itu, polis telah menjumpai rangka motosikal, enjin dan komponen lain yang telah dileraikan yang dianggar bernilai lebih RM70,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini, pada Isnin.

Zundin juga memaklumkan enam daripada suspek didapati positif dadah dan siasatan awal mendapati suspek mencuri motosikal itu untuk kegunaan sendiri selain untuk dileraikan sebelum dijual.

"Kumpulan ini menjadikan lokasi terpencil seperti kawasan semak, kebun dan pondok kosong sebagai lokasi untuk meleraikan komponen motosikal yang dicuri," katanya.

Zundin berkata semua suspek disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Zundin memaklumkan polis menahan dua lelaki daripada empat anggota Geng Suharto yang dipercayai terlibat dalam kes samun di Kampung Chengkenik di sini, pada 9 Mei lalu.

"Dua suspek berkenaan ialah warga Indonesia berusia 30 dan 37 tahun. Polis juga merampas wang tunai RM3,000, barang kemas dan empat telefon bimbit daripada suspek," katanya.

Zundin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA