Tiga mahasiswa Malaysia yang dikuarantin di Makkah sejak Ahad, selepas rakan seasrama diuji positif COVID-19, berada dalam keadaan sihat, menurut Persatuan Pelajar Malaysia Makkah Jeddah Taif (PPMJT).

Yang Dipertua PPMJT Muhammad Mujahid Zaharuddin berkata penuntut Umm Al-Qura University, Mekah, itu kini dikuarantin di sebuah hotel berdekatan Masjidil Haram sebagai langkah berjaga-jaga.

“Tiga penuntut itu tinggal di asrama universiti. Di asrama itu, terdapat dua pelajar lain disahkan positif COVID-19, jadi pihak universiti mengambil inisiatif untuk kuarantin semua pelajar yang tinggal di asrama berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Rabu.

Muhammad Mujahid berkata terdapat 37 mahasiswa Malaysia di Makkah, Jeddah dan Taif, mengikuti pelbagai jurusan seperti pengajian syariah, usuluddin, Bahasa Arab dan kejuruteraan, tajaan kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sering menghubungi mereka untuk mengetahui maklumat terkini pelajar di tiga kawasan (Makkah, Jeddah dan Taif), selain mendapatkan maklum balas mengenai hasrat pelajar untuk pulang ke Malaysia.

Muhammad Mujahid berkata ada pelajar yang mahu terus kekal di Arab Saudi atas pelbagai faktor temasuk kos yang tinggi.

“Ada juga yang sedang menunggu permohonan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana,” katanya.

Arab Saudi mengenakan perintah berkurung bermula 3 petang hingga 8 pagi.

“Setakat ini kami tidak menghadapi kesukaran meskipun pergerakan terbatas dan pengangkutan awam dihentikan,” katanya.

Pengajian di Arab Saudi buat masa ini dijalankan secara dalam talian.

Menurut data Johns Hopkins University, sehingga kini terdapat lebih 1,500 kes COVID-19 di Arab Saudi dengan 10 kematian.

-- BERNAMA