Tiga kemalangan melibatkan kenderaan pengangkutan awam direkodkan setakat ini termasuk ketika perayaan Aidilfitri, kata pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata tiga nahas bas ekspres itu berlaku di kawasan Pendang, Kedah pada 22 Jun, Genting Highlands, Pahang (25 Jun) dan Bukit Tagar, Selangor (29 Jun).

Pada Khamis lepas, seorang pemandu bas ekspres dan seorang penumpang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 422.5 Lebuhraya PLUS arah selatan di Bukit Tagar.

"Kebanyakan kemalangan ini berpunca daripada faktor manusia. Pun begitu, kalau semua ikut peraturan, Insya-Allah kadar kemalangan dapat dikurangkan.

"SPAD akan teruskan pemantauan agar hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dapat direalisasikan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sini, hari ini.

Turut hadir Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohammad Abdullah, exco kerajaan negeri serta kira-kira 7,000 tetamu.

Pada majlis itu, hadirin dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti sate, lemang, nasi himpit serta nasi lemak yang disediakan dalam sembilan trak makanan.

-- BERNAMA