Tiga penjenayah dipercayai terlibat dalam kegiatan samun bersenjata api ditembak dalam satu kejadian tembak-menembak di sini jam 5.45 petang pada Khamis.

Dua daripada penjenayah maut di tempat kejadian, manakala seorang mati dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmudin Mohd berkata polis menerima maklumat dari orang awam mengenai sebuah kereta jenis Toyota Camry berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan.

Katanya lapan anggota polis yang menaiki dua kereta peronda mengekori kenderaan suspek sejauh 4 kilometer dari Jalan Permas 1 ke Permas Utara dan berjaya memintasnya.

Selepas memperkenalkan diri, suspek tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah polis.

Semua penjenayah merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 25 tahun.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.