Sebuah van syarikat keselamatan disamun di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu, wang sejumlah kira-kira RM105,000 dilarikan penjenayah.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika tiga pekerja syarikat itu keluar selepas mengendalikan mesin juruwang automatik (ATM) di stesen minyak berkenaan.

Secara tiba-tiba, mereka diserang tiga lelaki yang bertindak melarikan kenderaan berkenaan.


Van syarikat keselamatan ditemui oleh polis ditinggalkan di tepi lebuh raya. - Astro AWANI

Dua daripada anggota syarikat keselamatan itu turut dilarikan penjenayah, manakala pemandu van berkenaan ditinggalkan di perkarangan stesen minyak terbabit.

Berdasarkan isyarat GPS, van berkenaan yang ditinggalkan di tepi lebuh raya berjaya ditemui dekat Kilometer (KM) 438 arah utara.





Dua pekerja syarikat keselamatan itu ditemui selamat bersama wang tunai RM5 juta yang disimpan di dalam peti besi.

Bagaimanapun, RM105,000 lagi berjaya dilarikan tiga penjenayah berkenaan yang dilihat berlari ke arah bawah jejantas lebuh raya.