Tiga penyelam skuba berjaya diselamatkan setelah dua jam terkandas kira-kira 5.6 batu nautika dari pelabuhan Tanjung Gelang pada Sabtu.

Tindakan pantas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 1 telah berjaya menyelamatkan mereka setelah menerima laporan sebuah bot hanyut pada jam 1 petang daripada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid telah mengarahkan sebuah Bot Tempur CB 90 bersama satu pasukan penyelam dan seorang staf perubatan bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat ketiga-tiga penyelam itu pada jam 1.19 petang di posisi mereka menyelam.

Ketiga-tiga mereka iaitu Che Mahadi bin Che Lah, 46 tahun; Nor Hafisah binti Supaat, 32 tahun; dan Raja Ratrina binti Raja Musa, 25 tahun, berjaya ditemukan pada jam 2.19 petang dan telah dibawa ke Tambatan Pelabuhan Kuantan (TPK).

scuba
Ketiga-tiga mangsa dilemparkan pelampung penyelamat - Foto TLDM

Menurut salah seorang mangsa, tali sauh bot terputus ketika mereka melakukan aktiviti penyelaman dan menyebabkan bot tersebut hanyut bersama dua lagi rakan mangsa yang berada di atas bot ketika itu.

Bot yang hanyut telah diselamatkan oleh nelayan dan ditunda ke Jabatan Perikanan Padang Lalang, Kuantan.

Ketiga-tiga mangsa menerima rawatan daripada staf perubatan setiba di TPK dan diserahkan kepada pihak APMM kira-kira jam 3.30 petang untuk tindakan selanjutnya.

scuba
Semua mangsa berjaya ditemukan pada jam 2.19 petang dan kemudian dibawa ke Tambatan Pelabuhan Kuantan. - Foto TLDM