KUALA LUMPUR: Index Persepsi Rasuah (CPI) negara masih belum berada di tahap membanggakan.

Malaysia cuma naik satu anak tangga di kedudukan ke-61 daripada 180 negara yang dinilai, tapi skornya turun 1 mata kepada 47 mata tahun lepas.

Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, ada tiga perkara yang boleh diambil tindakan segera sebagai langkah pertama untuk menambah baik kedudukan itu:

  1. Isu pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi.

    Kata Dr. Muhammad, apa pun alasan diberi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelantikan anaknya itu jelas memberi persepsi berlaku nepotisme di negara ini dan ianya satu isu yang serius.

    “Sebagai individu, Nurul Izzah rekodnya selama dari 2008 hingga 2022 amat baik, beliau seorang yang tegas, berintegriti dan buat kerja, jadi sumbangannya amat penting untuk membantu kerajaan.

    “Mungkin Anwar boleh menggunakan khidmat Nurul Izzah tetapi di kementerian lain di bawah pimpinan orang lain sebagai ahli kumpulan pakar yang boleh menyumbang idea.”
     
  2. Perjelaskan kemelut di sebalik isu pembelian kapal LCS.

    Tegas Dr Muhammad, walaupun kerajaan membuat keputusan untuk ‘move on’, namun kapal-kapal tersebut yang sepatutnya sampai ke tangan kita pada 2019 selepas RM6 bilion dibayar tetapi hingga hari ini tiada satu pun yang dapat perlu diperjelaskan apa yang berlaku di sebaliknya.

    “Jika kata dua tak diberikan, perkara sama akan berulang dan berlaku di agensi dan kementerian yang lain apabila perkara yang sebenar ditutup walaupun katanya kapal akan sampai tahun depan.”
     
  3. Tambah baik Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

    “Ini adalah ‘low-hanging fruit’,” kata Dr Muhammad dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

    Jelasnya, banyak bengkel dan perubahan pada klausa-klausa di dalam akta itu sudah dibuat, jadi kerajaan perlu laksanakannya dengan segera sebelum banyak lagi Rang Undang-Undang (RUU) lain untuk mereformasikan institusi seperti Akta Pendanaan Politik diusahakan kerana ia mengambil masa yang lama melalui proses yang pelbagai.

Namun apa yang penting, tegas Dr Muhammad, mereka yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa, walaupun berprofil tinggi, mereka perlu didakwa dan sebarang kes tidak boleh ditutup - jika kerajaan ini benar-benar ingin membuat pembaharuan.


Tiga perkara perlu dibuat segera untuk pulih persepsi rasuah negara - TI-M