Kerajaan menggariskan tiga rancangan transformasi membabitkan setiap jenis pengangkutan awam utama di wilayah Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang (GKL/KV) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatannya.

Menurut laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015 yang disediakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), ia merangkumi Rancangan Pembangunan Rel Bandar (URDP), Rancangan Transformasi Bas (RTB) dan Program Transformasi Industri Teksi (TITP).

Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rel, URDP bertujuan mengoptimumkan kegunaan aset rel semasa dan meningkatkan kapasiti menerusi penambahan laluan dan perkhidmatan serta membina laluan baharu bagi memenuhi permintaan masa depan.

Satu analisis berkaitan permintaan sedang dijalankan bagi mengkaji koridor yang berpotensi mencetuskan permintaan tambahan sekaligus membandingkan pilihan-pilihan lain yang ada.

Apabila URDP siap, penilaian teknikal yang lebih terperinci akan dijalankan bagi menentukan keperluan dari aspek kejuruteraan operasi dan penilaian ke atas jajaran aliran rel.

Laporan PTPAD itu dikeluarkan sempena Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2016 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Dalam mentransformasikan rangkaian bas di wilayah GKL/KV, BTP menerapkan cadangan antaranya meningkatkan kualiti perkhidmatan bas agar lebih tepat masa dan boleh diharap serta menyediakan akses pejalan kaki buat pengguna perkhidmatan itu.

Selain itu, BTP turut bercadang membantu menyediakan masa perjalanan yang lebih kompetitif melalui pengangkutan awam darat, menyediakan kenderaan moden yang selesa dan pemandu terlatih dalam menambah baik tahap perkhidmatan.

Berikutan persepsi tidak memuaskan bagi industri teksi dalam kalangan orang awam, SPAD menerusi TITP akan menggunakan pendekatan berlatarkan pasaran bagi memastikan proses transformasi ini mampu menarik penyertaan sektor swasta.

Antara tumpuan perubahan yang disarankan TTIP ialah peningkatan rangka kerja pengawalseliaan, menaikkan standard pemandu dan kenderaan, menambah baik sistem tempahan teksi, penjenamaan teksi, infrastruktur dan penguatkuasaan.

URDP, BTP dan TITP yang terkandung di bawah Rancangan Induk GKL/KV ini adalah panduan khas yang memperincikan inisiatif dan prinsip panduan yang dirangka khas berdasarkan keperluan khusus di wilayah itu.

"Wilayah GKL/KV menjadi penentu dalam corak penggunaan pengangkutan awam dan statusnya sebagai hab pengangkutan awam terpenting negara akan dipertingkat melalui jaringan tambahan yang menghubungkan GKL/KV dengan koridor-koridor ekonomi lain merentasi seluruh negara," menurut laporan itu.

Dalam menyokong inisiatif rancangan transformasi itu, kerajaan juga menggariskan langkah sokongan iaitu Rancangan Pertukaran dan Penyepaduan (IIP), Rancangan Guna Tanah (LUP) dan Rancangan Pengurusan Permintaan Perjalanan (TDMP).

Ia antara lain bertujuan menilai dan mempertingkat penyepaduan pengangkutan awam berteraskan dasar pembangunan tanah melalui elemen kesalinghubungan antara kilometer awal dan terakhir serta penggunaan mod pengangkutan awam berbeza iaitu dari satu mod ke mod lain. -- BERNAMA