Tiga sampel daripada anjing di daerah Julau telah disahkan positif Rabies oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Ketua Kesihatan Awam Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Cheong Yaw Liang berkata, kes pertama positif Rabies melibatkan anjing yang ditangkap dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No. 2 pada 31 Dis, 2017.

Dua kes lagi membabitkan anjing berkeliaran yang ditangkap di tepi jalan Rumah Paing, Km 19 Jalan Kelupu-Julau-Durin (KJD) dan di Jalan Julau/Entabai (kira-kira dua kilometer dari Pekan Julau) pada 8 Jan lepas.

Beliau berkata setakat ini, belum ada kes jangkitan virus rabies melibatkan manusia di daerah itu.

Penolong Pegawai Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sarikei Mathew Joan Sigai berkata, pihaknya telah memberi suntikan vaksinasi anti-Rabies terhadap anjing-anjing dalam kawasan 10 kilometer radius daripada ketiga-tiga anjing yang positif Rabies itu.

"Sekarang kerja-kerja vaksinasi terhadap anjing-anjing sudah selesai," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, sebanyak lima sampel dari Bahagian Sarikei, yang dihantar ke makmal (Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ipoh) baru-baru ini, masih menunggu keputusan.

Menurutnya sebanyak 1,208 anjing telah diberi suntikan vaksinasi anti-Rabies di kawasan Julau dan sebahagian kawasan di bawah Majlis Daerah Luar Bandar Sibu.

-- BERNAMA