Pihak berkuasa diketuai Jabatan Perhutanan Kelantan melakukan operasi meroboh tiga sekatan yang dilakukan oleh masyarakat Orang Asli Suku Temiar di kawasan Gua Musang, Kelantan hari ini.

Operasi meroboh sekatan bagi menghalang laluan balak itu dilakukan secara aman tanpa berlaku kejadian tidak diingini.

Lebih 400 anggota pelbagai agensi seperti anggota Jabatan Perhutanan, PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah melakukan operasi bermula pukul 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, tiga sekatan yang diroboh itu termasuklah sekatan di Kampung Depak, Pos Tohoi, Kampung Cawas, Pos Bihai dan Kampung Kuala Wook, Pos Pasik.

Katanya, seramai 234 anggota polis dan anggota pasukan PGA berkawal di tiga operasi berkenaan untuk menjaga keselamatan.

“Dalam operasi ini tujuan kita untuk membuka blockade yang didirikan masyarakat Orang Asli dan benda ini tercapai tanpa tentangan masyarakat Orang Asli dalam erti kata lain objektif telah mencapai sasaran dan tempat ini akan dikawal oleh jabatan perhutanan agar blockade ini dibuka tidak didirikan semula,” kata Mohd. Taufik ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, sebahagian masyarakat Orang Asli berkata mereka tetap tidak akan berputus asa dan tekad akan mempertahankan tanah hutan mereka daripada dicerobohi aktiviti pembalakan, perladangan dan perlombongan.

“Kalau Kerajaan Negeri menerima dan mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli, blockade pun tidak ada, NGO pun tidak ada, sebab kami sudah cukup bersabar kerana apa yang dimusnahkan oleh aktiviti pembalakan hasil daripada persetujuan kerajaan negeri dan syarikat, air yang kami minum, sumber kami hendak menyara keluarga kami (terjejas) dan kami banyak kerugian harta,” Kata Aban Anjang.

Operasi meroboh tiga sekatan laluan lori balak itu sudah dilakukan tiga kali sejak Orang Asli Suku Temiar mula memperjuangkan hak tanah adat mereka dengan mendirikan sekatan.