Seorang wanita bersama dua lelaki ditahan kerana menjalankan kegiatan memproses air ketum di sebuah rumah di tepi pantai di Kampung Permatang Damar Laut, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga individu, masing-masing dua lelaki berusia 20 dan 24 tahun dan wanita berusia 35 tahun, ditahan dalam serbuan menerusi Ops Landai jam 10 pagi Isnin.

Dalam serbuan itu, polis merampas 1,000 bungkusan air ketum yang disimpan di dalam tong ais dan daun ketum yang belum diproses seberat 90 kilogram.

Rampasan dianggar bernilai RM9,600, kata Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 ACP Rosman Ismail.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pasukannya bersama Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Barat Daya sejak seminggu lepas.

Rosman berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan rumah itu sebagai 'port' memproses air ketum sejak dua bulan lepas dan mereka berpindah-randah dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelak ditahan polis.

"Polis percaya air ketum ini untuk kegunaan tempatan. Kita ada dengar bahawa golongan nelayan ada mengambil air ketum ini. Orang yang bekerja ada yang ambil air ketum untuk beri tenaga.

"Tetapi, penggunaannya satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun, yang membawa denda RM10,000 dan penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pihaknya percaya air ketum itu diproses untuk pasaran tempatan dan sindiket berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dari negeri jiran sebelum memproses sendiri air ketum tersebut dengan mencampur beberapa bahan lain.

Hasil siasatan pihaknya mendapati sindiket berkenaan dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM20,000 setiap bulan kerana mendapat permintaan tinggi dari pelanggan mereka.

Rosman berkata, tiga individu yang tidak bekerja itu direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.