Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dalam serbuan berasingan di Kedah, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Serbuan dilakukan sejak dua hari lalu itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata sembilan individu iaitu tujuh warga tempatan dan dua warga Nigeria ditahan dalam operasi berkenaan.

“Daripada sembilan yang dicekup ini, dua mempunyai rekod jenayah manakala enam positif urin.

“Kita juga merampas pelbagai jenis dadah yang disyaki dadah iaitu ganja, syabu, kokaina dinilaikan RM5 juta, dan ini kalau terlepas boleh digunakan oleh 500,000 orang,” kata Mohd Mokhtar.

Dalam operasi itu juga, polis turut menyita wang tunai, sebuah kereta Perodua Viva dan pelbagai barang kemas bernilai RM56,000.

Tambah Mohd Moktar, dua warga Nigeria yang ditahan disyaki membawa masuk cecair kokaina dari Brazil untuk pasaran Thailand dan tempatan.

Kesemua suspek direman mengikut Sekyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.