Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak perlu lagi bimbang kehabisan minyak di laluan itu.

Ini kerana tiga buah lagi stesen minyak bakal beroperasi sebelum Hari Raya Aidilfitri, bagi menampung keperluan pengguna di lebuhraya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman memaklumkan dua daripada stesen itu disediakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, Dungun.

Sementara sebuah lagi stesen dibina di Perasing, Kemaman.

Jelas Rosli, pembinaan stesen minyak itu sebenarnya bergantung kepada jumlah aliran trafik di sepanjang laluan tersebut.

"Pembinaan stesen minyak ini bergantung kepada permintaan, penawaran, sebelum ini tiada stesen minyak dibuka di kawasan ini kerana laluan ini dianggap tidak tinggi aliran trafik,

"Pembukaan stesen minyak pula melibatkan kos RM5 juta ke RM6 juta setiap satu," jelas Rosli.

Sehingga kini, LPT2 merekodkan kira-kira 25,000 kenderaan sehari, ia dijangka meningkat sehingga 50,000 pada masa akan datang.

LPT2 meliputi jajaran sejauh 184 kilometer dari Jabor ke Gemuroh, Kuala Nerus, dibuka sepenuhnya kepada pengguna sejak Januari 2015.

Namun ketiadaan stesen minyak menyebabkan pengguna merungut kerana bimbang kehabisan bahan api ketika menggunakan laluan itu.

Ketika ini, hanya satu stesen minyak mini dibuka di R&R Kijal, bagi menampung keperluan pengguna LPT2.